Pekerja subkontraktor maut terjatuh ketika cuci panel solar

Pekerja subkontraktor maut terjatuh ketika cuci panel solar

JKKP Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seorang pekerja subkontraktor maut selepas terjatuh dari ketinggian lebih 9 meter di sebuah kilang di sini, semalam.

Jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika mangsa yang juga seorang warga tempatan sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan panel solar di atas bumbung lutsinar kilang terbabit.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan Hospital Sungai Bakap akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Susulan kejadian tersebut, satu siasatan sedang dijalankan dan notis larangan turut dikeluarkan kepada pihak-pihak yang terlibat bagi mengarahkan supaya pemberhentian aktiviti-aktiviti kerja dilakukan sehingga tindakan pembetulan dibuat.

“Dalam hal ini, tindakan perundangan juga akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh pihak-pihak yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan setiap majikan dan kontraktor agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai serta dipatuhi sebelum pekerja diarah menjalankan kerja yang berisiko tinggi.

Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan.

“JKKP Pulau Pinang memandang serius sebarang kemalangan melibatkan kerja di tempat tinggi kerana ia merupakan salah satu daripada penyumbang utama kepada kemalangan maut di tempat kerja.

“Justeru, semua pihak industri khususnya diingatkan supaya mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya termasuklah menyediakan ‘anchorage point’ (titik sauh) yang sesuai, latihan keselamatan berterusan serta penguatkuasaan pematuhan prosedur kerja yang selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN