Pejalan kaki lintas mengejut, dua maut termasuk remaja 

Pejalan kaki lintas mengejut, dua maut termasuk remaja 

KEADAAN motosikal Muhammad Darwisy Irsyad Mohd. Fitri yang terlibat dalam kemalangan meragut dua nyawa di Kilometer 146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kemama, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang remaja lelaki dan seorang lelaki warganegara China maut dalam kemalangan di Kilometer 146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat kawasan perindustrian Teluk Kalong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, Muhammad Darwisy Irsyad Muhammad Fitri, 18, dan Zhang Jian Cheng, 41, yang merupakan juruteknik di sebuah kilang pembuatan besi dan keluli, maut di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian badan serta kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, difahamkan, ketika kejadian, remaja itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125zr membonceng rakannya, sedang dalam perjalanan dari arah bandar Chukai menghala ke Kemasik manakala Jian Cheng pula berjalan kaki.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila warganegara China itu dikatakan secara tiba-tiba melintas dari bahu jalan ke tengah jalan raya. Ekoran jarak yang terlalu dekat, Muhammad Darwisy Irsyad gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh lelaki itu sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Razi berkata, pelanggaran itu mengakibatkan semua mangsa terjatuh di atas jalan raya dan dua orang disahkan maut oleh pasukan perubatan manakala rakan  Muhammad Darwisy Irsyad yang berusia 17 tahun cedera di bahagian kaki dan tangan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. Mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN