KUALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir iaitu Noraidah Lamat menafikan dakwaan anak guam mereka ada membuat kutipan derma bagi tujuan peribadi atau untuk membayar yuran guaman.
Peguam, Hamid Ismail yang mewakili Noraidah berkata, penularan nombor akaun di platform media sosial sejak kebelakangan ini seolah-olah membayangkan anak guamnya mengutip derma untuk dirinya sendiri adalah tidak benar.
“Anak guam kami tidak ada membuat sebarang kutipan derma ketika ini sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, nombor akaun yang tersebar itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai kepada Noraidah beberapa hari selepas kematian Zara, namun kutipan berkenaan telah dihentikan tidak lama kemudian.
“Sebarang sumbangan wang kepada anak guam kami hanya akan diterima secara fizikal oleh beliau sendiri atau menerusi wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang telah diberikan autoriti,” jelasnya.
Hamid turut menegaskan bahawa perkhidmatan guaman kepada Noraidah dijalankan secara pro bono atau percuma tanpa sebarang bayaran. – UTUSAN