Kes Zara Qairina - "Mohon saksi yang masih ada, tolong tampil."

Kes Zara Qairina – “Mohon saksi yang masih ada, tolong tampil.”

HAMID Ismail ditemui pemberita di luar Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah selepas prosiding pendakwaan terhadap lima remaja dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu agar mana-mana saksi yang masih belum tampil supaya berbuat demikian bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan masih ada individu yang mahu berjumpa dengan mereka berhubung siasatan kes berkenaan dan meminta agar saksi berkenaan segera tampil memberikan keterangan.

“Mohon saksi yang masih ada, tolong tampil. Itu permintaan khas kami. Setakat ini, memang ada beberapa yang mahu berjumpa dengan kami.

“Secara peribadi, saya juga sudah menerima beberapa maklumat, namun perlu ditapis terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat permintaan khusus daripada pihak keluarga arwah bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, Hamid berkata, pihaknya kini menunggu tarikh pendengaran permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang akan berlangsung bermula 3 September depan.

“Kami sedang menunggu tarikh pendengaran, mungkin dalam minggu ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada permohonan yang dikemukakan selepas prosiding sebutan inkues di Mahkamah Koroner, di sini, Isnin lalu.

Sementara itu, Hamid berkata, beliau akan menghubungi ibu arwah Zara bagi memaklumkan perkembangan terbaharu mengenai prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak hari ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN