PETALING JAYA: Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa menerima rasuah dari seorang pemilik syarikat sejak 2014 bagi membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.
Menurut sumber, pegawai kanan gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B itu merupakan antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemarin kerana disyaki terlibat rasuah.
Katanya, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu masing-masing ditahan di lokasi berbeza dengan pegawai kanan ditahan di pejabatnya kelmarin.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014 di mana suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.
“Susulan tangkapan itu, SPRM menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton,” katanya semalam.
Sumber berkata, SPRM juga telah membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 29 Ogos ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM susulan penahanan seorang pegawai kanan itu.-UTUSAN










