KANGAR: Kira-kira 600 nelayan di Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini lega apabila kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukan sebanyak RM100,000 bagi menambah baik jeti tambatan bot komuniti nelayan di kawasan berkenaan.
Sebelum itu, sebanyak RM50,000 turut diperuntukkan bagi membiayai projek pembinaan tambatan di kawasan sama.
Ketua Pengarah LKIM, Dr Abdul Salim Tajudin berkata, penyediaan kemudahan fasiliti baharu itu dijangka dapat memberi manfaat buat nelayan di kawasan berkenaan dan menampung sekitar 200 buah bot.
Katanya, LKIM sentiasa memastikan nelayan mendapat manfaat dan kemudahan yang baik serta selamat untuk mereka turun ke laut menerusi penyerahan peruntukan itu.
“Dalam masa sama, kita turut menyerahkan bantuan tabung bencana alam dan kebajikan nelayan berjumlah RM22,000 kepada dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor pada 13 Jun lalu, di mana setiap mangsa menerima RM11,000,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan jeti tambatan bot kepada komuniti nelayan Kurung Tengar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Salim berkata, masyarakat diharap dapat memahami kesusahan dan risiko dihadapi nelayan di laut selain harganya turut bergantung kepada jumlah tangkapan semasa serta cuaca.
Beliau turut menasihati golongan nelayan agar dapat sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pada musim ribut dan cuaca tidak menentu dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan.
“Kenaikan harga ikan adalah amat bergantung kepada jumlah tangkapan semasa dan cuaca, justeru masyarakat diharap dapat memahami kepayahan serta risiko yang dihadapi nelayan di laut ini,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan tempatan, Ramli Hamad, 49, berkata, pembinaan tersebut amat diperlukan komuniti nelayan di sini berikutan kawasan tersebut sebelum ini tidak mempunyai kemudahan tersebut.
Katanya, langkah berkenaan sememangnya memudahkan nelayan setempat bagi membawa naik hasil tangkapan mereka pada setiap hari.
“Sebelum ini hendak bawa naik hasil tangkapan pun payah, nak turun ke laut pun susah sikit sebab tiada jalan yang sempurna, jadi kami amat bersyukur dengan inisiatif dilaksanakan ini,” katanya.-UTUSAN










