Pasar terapung Sungai Derga mengujakan orang ramai

Pasar terapung Sungai Derga mengujakan orang ramai

PASAR terapung ala Hatyai jadi tarikan pada program SDSD Street Market dan Floating Market Derga di Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pasar terapung ala ‘Floating Market Hatyai’ menjadi tarikan pengunjung sebuah program anjuran Restoran Santai Di Sungai Derga (SDSD), di sini.

Pengunjung membanjiri program tersebut seawal 8 pagi walaupun dengan cuaca hujan untuk merasai pengalaman mengujakan itu.

Deretan sampan yang dihias cantik di tebing sungai menawarkan pelbagai juadah tradisional Thai termasuk tom yam, kerabu maggi, pulut ayam, rojak dan buah-buahan termasuk jeruk.

Pengarah Urusan Restoran SDSD, Mazura Jaafar berkata, idea membawa konsep floating market ke Alor Setar tercetus selepas melihat potensi tarikan pelancongan di negara jiran yang mampu menghidupkan ekonomi setempat.

“Kami mahu beri pengalaman baharu kepada masyarakat Kedah dan pelancong. Selain makanan, ada juga jualan kraftangan, aksesori, dan persembahan kebudayaan Thai dan Kedah.

“Turut diadakan pertandingan pakaian merdeka kanak-kanak, zumba dan mewarna,” katanya ketika ditemui pada program SDSD Street Market dan Floating Market Derga di Derga, Datuk Kumbar di sini semalam

Katanya, selain pasar terapung lebih 50 vendor peniaga turut serta dalam program tersebut yang menawarkan pelbagai juadah makanan, pakaian dan kelengkapan rumah serta Jualan Rahmah Madani.

“Sempena program ini juga kami menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melayari Sungai Derga selama 30 minit menaiki bot SDSD dengan bayaran RM5 seorang. Ianya mendapat sambutan menggalakkan sehingga 10,000 pengunjung,” katanya.

Seorang pengunjung, Mohd. Rafiq Hashim, 29, berkata, dia bersama enam ahli keluarganya datang ke program tersebut untuk menaiki bot dan menjamu selera.

“Tidak sangka ada pasar terapung juga di Kedah ala-ala seperti di Hatyai dan program ini pun menarik kerana harga makanan yang ditawarkan berpatutan,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN