Pas terbuka kerjasama dengan MIC, MCA

Pas terbuka kerjasama dengan MIC, MCA

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas terbuka menjalinkan kerjasama dengan MIC dan MCA untuk bersama di dalam Perikatan Nasional (PN) namun ia memerlukan perbincangan lebih lanjut di peringkat tertinggi kepemimpinan gabungan berke­naan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Ha­shim Jasin berkata, secara dasar­nya, Pas tidak ada masalah untuk perpaduan dan kerjasama dengan pelbagai parti kecuali DAP.

Katanya, Gerakan sudah bersama PN dan gabungan itu terbuka menerima parti-parti lain untuk mengukuhkan lagi kerjasama men­depani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Ke arah kerjasama tersebut menjadi kenyataan bagaimana memerlukan perbincangan le­bih lanjut di peringkat tertinggi kepemimpinan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan seorang pemimpin sayap Pas mengingatkan bahawa MIC pernah bersama mereka se­masa pentadbiran lepas, lalu me­nyatakan kesediaan untuk menjalin semula kerjasama tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas, Bala­chandran Gopal Krishnan dilaporkan berkata, MIC dan Pas pernah menubuhkan kerajaan di bawah dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran me­negaskan bahawa parti itu tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti lain demi memastikan kelangsungan dan masa depan MIC terus terjamin.

Kenyataan itu selepas beberapa hari Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dalam wawancara dengan Utusan Malaysia memaklumkan bahawa parti itu akan menentukan hala tuju selepas mesyuarat agung tahunan Oktober ini.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas menolak untuk bersama Kerajaan Perpaduan meskipun ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pendirian itu sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Maszlee Malik sebelum ini bahawa pe­luang wakil Pas menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih cerah jika bersama Kerajaan Perpaduan.

Hashim menegaskan, Pas tidak sama sekali bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan selagi adanya DAP di dalam kerajaan tersebut.

“Kita tidak akan masuk (kerajaan Perpaduan) selagi DAP ada. Kita sudah banyak pengalaman bersama DAP sebelum ini.

“Bagaimanapun, kerjasama dengan UMNO masih terbuka dan kita tidak pernah menutup pintu rundingan ke arah perpaduan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN