GEORGE TOWN: Pas masih memerlukan kepimpinan cemerlang Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk terus menerajui parti itu walaupun beliau kini dilihat sedikit uzur daripada sudut fizikal.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, sumbangan besar Abdul Hadi dalam memperkukuh jemaah dan menjadikan Pas sebagai parti utama masa depan negara ketika ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Tuan Guru (Abdul Hadi) hanya kelihatan uzur dari segi fizikal, tetapi, idea dan pemikiran beliau sangat segar dan terus relevan untuk memandu jemaah Islam di negara ini.
“Tambahan pula, Pas kini berada di landasan yang kukuh sebagai sebuah parti utama yang sedang menanti peluang untuk memerintah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini dilaporkan seluruh saf kepemimpinan Pas dilihat istiqamah mahu Abdul Hadi dikekalkan sebagai Presiden parti itu menjelang Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang dijadualkan berlangsung di Kedah, September ini.
Muhammad Fawwaz berkata, kepemimpinan Abdul Hadi yang berteraskan prinsip kepimpinan ulama amat penting dalam memastikan hala tuju Pas agar kekal berpaksikan dasar Islam.
“Lihat sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Pas berjaya membentuk kerajaan empat negeri dan mencatat kemenangan hampir 100 peratus kerusi Parlimen yang ditandingi. Ini bukan sesuatu mudah, tetapi ia hasil kepimpinan strategik Tuan Guru,” katanya.
Muhammad Fawwaz berkata, mana-mana parti Islam yang mahu mentadbir negara perlu dipandu pemimpin berilmu dan memahami pemerintahan berlandaskan Islam dan dalam hal ini, Abdul Hadi adalah individu paling layak.
Katanya, meskipun ramai lagi tokoh ulama dalam Pas, dari segi kedalaman ilmu, keluasan pengalaman dan ketajaman pemikiran politik, Abdul Hadi masih menjadi figura sukar diganti.
“Ulama lain tetap memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada idea dan strategi parti, tetapi kepimpinan Abdul Hadi tetap dihormati semua lapisan pimpinan, malah, tidak berlaku perebutan jawatan kerana Pas mengutamakan prinsip Islam dalam soal amanah kepimpinan,” katanya. – UTUSAN










