KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana Malaysia Berhad sedang meneliti cadangan untuk memasang penghadang keselamatan di antara platform dan landasan di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) lama bagi meningkatkan keselamatan penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemasangan itu dapat meminimumkan risiko kemalangan, terutamanya melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, walaupun pemasangan penghadang itu tidak dapat menutup sepenuhnya jurang antara platform dan tren.
“Reka bentuk stesen LRT lama seperti di laluan Ampang dan beberapa stesen lain, tidak mempunyai pintu penghadang di antara platform dan landasan, berbeza dengan stesen-stesen MRT seperti Putrajaya dan Kajang yang sudah dilengkapi dengan sistem pintu platform automatik.
“Bagi tren MRT, pintu penghadang akan hanya dibuka apabila tren berhenti, sekali gus menjadi lapisan keselamatan penting bagi penumpang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kelemahan utama dikenal pasti dan penambahbaikan kemudahan OKU di semua stesen LRT.
Februari lalu, seorang lelaki OKU penglihatan meninggal dunia akibat terjatuh dan digilis tren di stesen LRT Titiwangsa.
Anthony Loke berkata, pemasangan penghadang di stesen-stesen LRT sedia ada memerlukan perbelanjaan besar dan tempoh pelaksanaan yang panjang kerana melibatkan reka bentuk semula struktur stesen.
“Buat masa ini, polis bantuan ditugaskan ke stesen-stesen LRT bagi memantau dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
“Latihan tambahan juga diberikan kepada anggota polis bantuan agar mereka lebih peka terhadap kehadiran penumpang yang memerlukan bantuan khas, termasuk golongan OKU,” katanya. – UTUSAN










