KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan membawa kes yang substantif, berfakta dan mengikut undang-undang untuk didakwa ke mahkamah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, alasan itu dimaklumkan SPRM kepadanya berhubung sebab hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa di mahkamah, walaupun lapan ADUN dikaitkan dengan skandal rasuah itu.
Perdana Menteri yang menegaskan tidak campur tangan dalam kes itu berkata, beliau dimaklumkan SPRM bahawa maklumat berdasarkan rakaman video dan khabar angin tidak cukup untuk menyokong fakta dan undang-undang dalam mendakwa semua ADUN Sabah yang dikaitkan itu ke muka pengadilan.
“Lapan yang dikaitkan dengan video (rasuah) tetapi SPRM bila tengok kes itu, ia mesti kes yang kuat untuk didakwa, saya tidak campur. Saya tanya kenapa dua? Sebab kes itu yang boleh berkesan, kalau tidak dibuang dari mahkamah.
“Itu alasan mereka, mengambil kes yang substantif, berfakta dan mengikut undang-undang, kalau dari video sahaja (maklumat) tidak boleh,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 30 Jun lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy didakwa di mahkamah atas pertuduhan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM200,000 dan RM150,000 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Dr. Yusof, 69, sebelum ini didakwa pada 30 Jun lalu atas pertuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 daripada tertuduh, Jiann Cheing, sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapatkan lesen mencari gali mineral di Sabah. – UTUSAN










