KUALA LUMPUR: Qunut Nazilah tidak seharusnya dipolitikkan seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu juga tidak seharusnya digunakan kepada mana-mana pemimpin yang mereka tidak berpuas hati terhadap pihak tertentu.
“Saya adalah orang yang tidak setuju Qunut Nazilah dipolitikkan, termasuk dengan orang yang saya tidak senang, termasuk yang membatalkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat.
“Saya percaya kerana mereka ada sahabat-sahabat, penyokong-penyokong setia sekarang di sebelah sana (pembangkang), nasihatlah supaya kita sempat bertaubat dan berubah dan memberi sokongan kepada perkembangan Islam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd. Sany Hamzah (PH-Hulu Langat berhubung kewajaran membacakan Qunut Nazilah terhadap sesetengah pihak kerana tidak berpuas hati.
Pada 2003, pentadbiran ketika itu menghentikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul.
Susulan daripada itu, Kerajaan Perpaduan pada 2023 memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Anwar mengumumkan perkara itu sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 dengan menjelaskan, kerajaan mengkhususkan RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.-UTUSAN










