KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 tidak akan menukar status pekerja gig menjadi pekerja sepenuh masa sebaliknya mengekalkan sifat pekerjaan anjal serta bekerja sendiri seperti diamalkan ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, RUU itu jelas menekankan konsep freelancer atau bekerja sendiri.
Katanya, ia melalui perjanjian contract for service yang membezakan mereka daripada pekerja contract of service atau contract of employment di bawah Akta Kerja.
“Secara spesifik, RUU ini mendefinisikan pekerja gig sebagai warganegara atau pemastautin tetap yang memeterai perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak dan menerima pendapatan atas perkhidmatan yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Pekerja Gig 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Chee Keong berkata, entiti kontrak yang dimaksudkan merangkumi penyedia platform atau bukan penyedia platform yang menawarkan perkhidmatan seperti disenaraikan dalam Jadual RUU Pekerja Gig.
Antara perkhidmatan dalam senarai itu termasuk lakonan, perfileman, muzik, kecantikan, terjemahan, kewartawanan, penjagaan sebelum dan selepas bersalin, penjagaan paliatif, orang tua dan pemulihan, selain fotografi serta videografi.
Katanya, senarai itu juga dianggap sebagai senarai hidup yang boleh dipinda dari semasa ke semasa menerusi perintah menteri mengikut keperluan.
“Selain definisi pekerja gig, RUU ini turut menetapkan tafsiran jelas bagi entiti kontrak, perjanjian perkhidmatan, penyedia platform dan lain-lain perkara berkaitan sektor berkenaan.
“Dengan adanya peruntukan ini, pekerja gig yang sebelum ini tidak terangkum dalam mana-mana tafsiran pekerja seperti di bawah Akta Kerja, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak atau Akta Perhubungan Perusahaan, kini diberikan tafsiran yang sah.
“Dalam kata lain, pekerja gig bukan lagi ibarat anak terabai tanpa penjaga dalam pasaran kerja, sebaliknya kini mempunyai ‘ayah angkat’ yang mengiktiraf kedudukan mereka,” katanya. – UTUSAN











