KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada perkara asas seperti bekalan air, tenaga, dan isu perumahan selaras dengan usaha memastikan rakyat mempunyai akses kepada rumah mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sasaran rumah mampu milik adalah tinggi, namun pelaksanaan sebelum ini lemah.
Katanya, 217,371 unit atau 43.5 peratus sedang berada di peringkat pembinaan, manakala 79,192 unit atau 15 peratus telah mendapat kelulusan perancangan dengan pendekatan baharu yang dilaksanakan.
“Jumlah keseluruhan unit yang siap dan sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan kini mencecah 493,874 unit, iaitu 98.8 peratus daripada sasaran. Sebanyak 6,126 unit lagi dijangka siap tidak lama lagi.
“Di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), isu perumahan kini diberikan keutamaan sehingga 30 Jun 2025. Sehingga kini, 197,311 unit telah siap dibina,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai bilangan terkini rumah mampu milik yang telah siap dibina di bawah RMK12 dan peratus pencapaian setakat ini.
Perdana Menteri turut menekankan beberapa inisiatif baharu seperti Rent to Own (RTO), Transit Oriented Development (TOD) dan projek Kota Madani yang dilancarkan di Putrajaya dan Cheras.
Di Putrajaya, 90 peratus daripada 10,000 unit termasuk 3,000 unit fasa pertama dan 7,000 unit fasa kedua telah diperuntukkan untuk penjawat awam yang menunggu peluang memiliki rumah kerana permintaan sangat tinggi.
Mengulas dana tambahan, Anwar berkata, Skim Jaminan Kerajaan Perumahan yang diperkenalkan pada 2008 tanpa jaminan kerajaan kini menyediakan jaminan sehingga RM20 bilion sejak 2023.
“Sehingga kini, RM20.9 bilion telah diluluskan melibatkan 88,507 pemohon. Skim ini memberi peluang kepada golongan M40 dan B40 memiliki rumah termasuk melalui SJKP Madani yang membenarkan pinjaman sehingga 120 peratus bagi menampung kos pemindahan, perabot dan keperluan lain.
“Berdasarkan Laporan HIES 2022, 76.5 peratus isi rumah di Malaysia memiliki rumah sendiri, manakala 20.3 peratus mendiami rumah sewa dan 3.3 peratus tinggal di kuarters,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga melaksanakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan jaminan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, sedia ada atau lelongan.
Katanya, sepanjang pelaksanaan dari 2008 hingga 31 Mei 2025, sebanyak RM20.9 bilion telah diluluskan melibatkan 88,507 permohonan.
“Dana SJKP ditambah RM10 bilion pada 2025 yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kini RM30 bilion.
“Skim RTO pula disediakan khusus bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) di tujuh negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana mempunyai peluang memiliki rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN










