PETALING JAYA: Pendapatan isi rumah bukan lagi ukuran yang memadai untuk menentukan siapa yang benar-benar mampu bertahan apabila kos sara hidup meningkat, khususnya bagi keluarga bandar yang berada di tengah-tengah antara kumpulan berpendapatan rendah dan golongan yang dianggap berkemampuan.
Justeru, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohammad Mujaheed Hassan berkata, Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada isi rumah yang mungkin tidak tergolong sebagai miskin atau layak menerima bantuan tertentu, tetapi mempunyai baki pendapatan boleh guna yang kecil selepas mengambil kira komitmen asas.
Katanya, ukuran kerentanan perlu mengambil kira bukan sahaja jumlah pendapatan, tetapi juga bilangan tanggungan, kos perumahan, lokasi tempat tinggal, perbelanjaan pengangkutan dan kos sebenar membesarkan keluarga.
“Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan RM6,000 dengan tiga anak di kawasan bandar mungkin mempunyai keupayaan kewangan yang jauh berbeza berbanding isi rumah dengan pendapatan sama tetapi jumlah tanggungan dan komitmen lebih rendah.
“Jadi, persoalannya bukan semata-mata berapa pendapatan sesebuah isi rumah, tetapi berapa yang tinggal selepas membayar keperluan asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk Belanjawan 2027 beralih daripada pendekatan yang terlalu bergantung kepada bantuan berdasarkan kategori pendapatan kepada pendekatan yang mengukur tekanan perbelanjaan sebenar isi rumah.
Ujarnya, perumahan menjadi antara komponen terbesar yang menentukan sama ada sesebuah keluarga benar-benar mampu hidup dengan selesa.
“Konsep rumah mampu milik tidak sepatutnya dilihat daripada harga rumah sahaja. Jika rumah lebih murah tetapi jauh dari tempat kerja, keluarga mungkin membayar semula perbezaan itu melalui kos petrol, tol, pengangkutan awam dan masa perjalanan.
“Justeru, kita perlu bercakap tentang ‘kehidupan mampu milik’, bukan sekadar ‘rumah mampu milik’,” katanya.
Dalam konteks itu, katanya, pembangunan rumah baharu perlu disepadukan dengan akses kepada pekerjaan dan pengangkutan awam, selain memperkukuh pilihan sewaan mampu milik serta skim sewa untuk milik.
Beliau turut mencadangkan perhatian lebih besar diberikan kepada penyelenggaraan dan naik taraf Program Perumahan Rakyat (PPR) serta perumahan strata lama supaya kos perumahan tidak terus menjadi beban kepada isi rumah sedia ada.
Mohammad Mujaheed berkata, pelaburan dalam pengangkutan awam yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2026 juga perlu diteruskan dengan memberi tumpuan kepada masalah ketersambungan perjalanan dari titik asal hingga ke destinasi akhir.
“Bas pengantara, hubungan kawasan pinggir bandar dengan pusat pekerjaan serta kesalinghubungan bandar sekunder perlu diperkukuh kerana akses kepada pengangkutan turut menentukan kos hidup sebenar sesebuah keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, sistem perlindungan sosial perlu bergerak daripada pendekatan membantu selepas isi rumah jatuh miskin kepada mengesan kerentanan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Katanya, data sedia ada boleh dimanfaatkan bagi mengenal pasti isi rumah yang mula menunjukkan tanda tekanan seperti kehilangan pekerjaan, penurunan pendapatan, beban perumahan yang tinggi atau pertambahan jumlah tanggungan.
“Jika tanda-tanda ini dapat dikenal pasti lebih awal, intervensi boleh dibuat sebelum sesebuah keluarga terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan.
“Bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) masih penting, tetapi bantuan jangka pendek perlu disusuli langkah yang meningkatkan keupayaan isi rumah untuk berdikari,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu termasuk akses kepada pekerjaan berkualiti, latihan semula, penjagaan kanak-kanak, mobiliti serta peluang meningkatkan pendapatan.
Bagi golongan muda pula, katanya, ukuran keberkesanan dasar tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah pekerjaan yang diwujudkan semata-mata, tetapi turut melihat tahap gaji, kestabilan pekerjaan dan peluang mobiliti ekonomi. – UTUSAN









