KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mempunyai ‘Plan B’ untuk membeli jet tempur generasi kelima (5G) dari Perancis, Russia atau Amerika Syarikat (AS) sekiranya perolehan pesawat F/A-18 Hornet dari Kuwait mengambil masa terlalu lama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait merupakan satu usaha ‘stop gap’ yang dilakukan dalam rancangan memperoleh jet tempur berteknologi terkini menjelang 2040.
Katanya, perolehan F/A-18 itu adalah bagi menampung kekurangan pesawat Sukhoi Su-30MKM dan lain-lain aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Perkara itu sudah dibincangkan dengan Kuwait dan terbaharu, AS tiada halangan untuk Kuwait menjual jet tempur tersebut kepada Malaysia namun ia perlu melalui beberapa proses.
“Bulan hadapan, pasukan TUDM akan pergi melihat dan menilai pesawat tersebut dari segi kesediaanya, kekurangan atau perlu ditambahbaik dan sebagainya serta selain kos membeli sama ada akan ada kos tambahan lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang mahu mengetahui status perolehan jet tempur F/A-18 milik Kuwait yang ingin dibekalkan kepada TUDM.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, walaupun Malaysia sudah memperoleh persetujuan daripada AS untuk mendapatkan pesawat tersebut, namun penerimaan jet tempur itu hanya akan berlaku apabila Kuwait menerima jet baharu yang ditempah kepada AS.
Justeru, katanya, terdapat kemungkinan bahawa penyerahan pesawat F/A-18 itu mungkin memakan masa terlalu lama bahkan Kuwait sendiri tak ada ketentuan bila mereka akan menerima jet baharu yang ditempah.
“Melihat kepada keadaan itu, jika (penghantarannya) terlalu lewat kementerian tiada halangan menjelang 2030 untuk menimbangkan (menaiktaraf) sebanyak 18 buah pesawat Sukhoi yang kita ada untuk memastikannya boleh beroperasi.
“Kedua, kita juga sudah boleh menimbang perolehan jet jet baharu 5G dari Perancis, AS mahu pun Russia yang mana keputusan penilaian akan mengambil masa panjang mungkin sehingga tahun 2033 atau 2034 kerana kita merancang untuk menggantikan semua jet kita menjelang 2040,” katanya. – UTUSAN










