PETALING JAYA: Seramai 4.63 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan sebanyak RM14.79 bilion wang simpanan mereka dalam Akaun Fleksibel sejak diperkenalkan pada Mei 2024 sehingga Jun lalu.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah itu mewakili 35.1 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta pencarum KWSP di bawah usia 55 tahun.
“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM10.16 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan itu diberikan kepada Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah kerajaan akan membenarkan Pengeluaran Khas KWSP 2025 dengan memindahkan simpanan Akaun 1 sebanyak 30 peratus ke dalam simpanan Akaun 3 bagi membantu rakyat miskin menghadapi tekanan kos sara hidup semasa pada hari ini.
Menjelaskan perkara itu, Kementerian Kewangan berkata, pengeluaran khas yang dibenarkan oleh KWSP terdahulu khususnya Akaun Persaraan (Akaun 1) hanyalah bertujuan bagi menangani situasi semasa pandemik Covid-19 dan ia bersifat sementara.
Katanya, mandat utama KWSP sebagai sebuah institusi perlindungan sosial adalah bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan untuk menampung keperluan perbelanjaan ahli di hari tua kelak.
“Selain bertentangan dengan mandat dan peranan KWSP sebagai pemegang amanah kepada simpanan persaraan ahli, pengeluaran daripada Akaun 1 adalah tidak selaras dengan piawaian antarabangsa yang menyarankan sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan sembilan cabang asas perlindungan sosial terhadap risiko kerentanan pada pelbagai fasa kehidupan di mana risiko pada usia tua salah satu daripada cabang tersebut,” katanya.
Menurutnya, bagi mengimbangi keperluan jangka panjang, sederhana dan pendek ahli, KWSP pada Mei 2024 telah menstruktur semula akaun KWSP kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel dengan nisbah caruman masing-masing adalah sebanyak 75:15:10.
Katanya, Akaun 1 dikhaskan bagi tujuan simpanan hari tua, Akaun Sejahtera atau Akaun 2 pula adalah bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran pra-persaraan seperti pengeluaran bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“Akaun Fleksibel yang juga dikenali sebagai Akaun 3 merupakan akaun baharu yang diwujudkan bagi memboleh ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa terutamanya ketika kecemasan.
“Ingin ditegaskan bahawa, simpanan KWSP terutamanya Akaun 1 adalah bertujuan untuk kegunaan persaraan dan bukanlah sumber bagi penyelesaian jangka panjang kepada cabaran isu kos sara hidup dan status pekerjaan yang bersifat semasa,” katanya. – UTUSAN










