KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki keupayaan yang sangat baik dalam mengesan kehadiran ejen asing atau pengintip yang cuba masuk ke negara ini bagi mendapatkan maklumat sulit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman pengintipan merupakan isu keselamatan yang serius kerana ia berkait rapat dengan kepentingan geopolitik negara.
“Kita mempunyai sejarah panjang dalam mengesan aktiviti pengintipan. Apa yang jelas, ia adalah potensi ancaman yang sangat serius, terutama dalam konteks geopolitik negara kita hari ini.
“Sebagai contoh, dalam ketegasan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap isu Gaza, termasuk kritikan keras terhadap pihak yang terlibat, negara kita boleh menjadi sasaran, apatah lagi apabila terdapat NGO yang aktif memperjuangkan isu berkenaan. Maka tidak mustahil kita menjadi sasaran Israel,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai jumlah ejen asing yang memasuki Malaysia serta kesannya terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurut Saifuddin, kehadiran pihak berkenaan berlaku dalam pelbagai bentuk bagi mengelakkan ia daripada dikesan pihak berkuasa.
“Kalau kita boleh tahu berapa ramai yang ada dalam negara, sudah tentu mudah kerja kita. Apa yang kita tahu hanya struktur rasmi seperti duta, pesuruhjaya tinggi, kakitangan dan pegawai tempatan.
“Namun, mengenai kehadiran ejen pengintip, kita tidak akan tahu secara jelas kerana modus operandi pengintipan sememangnya bersifat rahsia dan sulit,” katanya.-UTUSAN










