KUALA LUMPUR: Konflik di Thailand dan Kemboja pada ketika ini amat terkawal meskipun berada dalam keadaan sangat sensitif dan tegang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ketegangan tersebut dapat ditamatkan pada 7 Ogos ini, sekali gus mencapai kata putus yang sebaiknya demi kepentingan kedua-dua negara berkenaan.
“Untuk berikutnya, kita memutuskan untuk menyerahkan sepenuhnya keputusan pada 7 Ogos ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang sekarang ini sedang berlangsung dan akan berakhir dengan kehadiran kedua-dua Menteri Pertahanan iaitu Kemboja dan Thailand. Harapnya dapat ditamatkan pada 7 Ogos ini.
“Sama ada perlu kehadiran tentera untuk memantau, itu akan diputuskan kemudian. Setakat ini keadaan amat terkawal walaupun sangat sensitif dan tegang. Ia tidak mudah kerana bila ada berlaku pembunuhan, ia mengambil masa untuk mengurangkan suhu kepanasan dan kemarahan itu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Rodiah Sapiee (GPS-Batang Sadong) dalam soalan tambahan meminta Perdana Menteri menjelaskan apa manfaat yang Malaysia perolehi dalam menjadi pendamai di antara kedua-dua negara tersebut.
Tarikh 7 Ogos ini merupakan hari terakhir mesyuarat GBC dan kedua-dua pihak dijangka akan mencapai kata putus mengenai konflik yang bermula pada 28 Mei lalu.
Mesyuarat tersebut melibatkan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha serta Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit di mana Malaysia, China dan Amerika Syarikat bertindak sebagai pemerhati.
Kini mesyuarat di peringkat sekretariat berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos 2025 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.
Delegasi Thailand diketuai oleh Lt Jen Nuttapong Praokaew manakala Kemboja diwakili Mejar Jen Sin Sokha di mana kedua-dua pihak tiba di Malaysia pada 3 Ogos.
Perdana Menteri berkata, setakat ini Malaysia hanya diminta untuk menyelaraskan rundingan antara kedua-dua negara tersebut dengan sokongan diplomatik tambahan daripada Amerika Syarikat dan China.
“Kita mahu kedua-dua buah negara bersetuju, berpakat dan memuktamadkan penyelesaian ini dengan Malaysia sebagai saksi dan disokong sepenuhnya oleh negara-negara ASEAN,” ujarnya.-UTUSAN










