PARLIMEN: Kerajaan sasar defisit fiskal 3.8 peratus

PARLIMEN: Kerajaan sasar defisit fiskal 3.8 peratus

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, sejajar dengan komitmen untuk mengurangkan paras hutang negara secara berperingkat.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu selaras dengan kerangka Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Akta 850) yang menetapkan sasaran defisit kurang tiga peratus dan hutang bawah 60 peratus KDNK dalam jangka sederhana.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pembaharuan fiskal termasuk peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-Invois serta penjimatan subsidi bersasar bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Melalui pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 yang lalu, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit kepada kurang daripada tiga peratus dan menurunkan paras hutang kepada bawah 60 peratus KDNK dalam jangka sederhana.

“Belanjawan 2025 pula menyasarkan defisit fiskal 3.8 peratus KDNK dan kerajaan yakin sasaran ini mampu dicapai tahun ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai justifikasi hutang negara yang kekal tinggi sekitar 60 hingga 65 peratus KDNK dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan persaingan perdagangan ketika ini.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, paras hutang Kerajaan Persekutuan juga menurun daripada 63.9 peratus (sekitar RM1.3 trilion) setakat Jun 2025 berbanding 64.6 peratus pada akhir 2024.

“Sehingga kini, kerajaan tidak pernah meminjam melebihi had statutori yang dibenarkan di dalam akta-akta berkaitan hutang Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN