PARLIMEN: Kerajaan belum cadang kaji semula elaun guru pedalaman

PARLIMEN: Kerajaan belum cadang kaji semula elaun guru pedalaman

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mengkaji semula elaun khas guru kepada mereka yang bertugas di sekolah pedalaman.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini pengetua, guru besar, guru pentadbir dan guru-guru di sekolah pedalaman menerima Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) mengikut kategori iaitu RM1,500 sebulan bagi kawasan Pedalaman 3, RM1,000 bagi Pedalaman 2 dan RM500 bagi Pedalaman 1.

“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui kenaikan gaji penjawat awam, termasuk guru dan pentadbir sekolah menerusi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang telah berkuatkuasa pada 1 Disember 2024.

“Kenaikan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik kebajikan penjawat awam termasuk golongan pendidik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Azizi Abu Naim (Bebas–Gua Musang) yang ingin mengetahui sama ada KPM bercadang mengkaji semula elaun pengetua, guru besar dan guru pentadbir serta guru-guru bertugas di sekolah pedalaman, khususnya dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang mungkin menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan kenaikan gaji serta langkah-langkah yang dapat meningkatkan profesionalisme dan kesejahteraan para pendidik secara menyeluruh.

Katanya, kementerian akan terus membuat penilaian dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi dan kewangan negara serta keutamaan sektor pendidikan.

“Selain itu, KPM juga terbuka terhadap cadangan insentif bukan berbentuk kewangan (non-monetary) yang tidak melibatkan implikasi kewangan bagi membantu pemimpin sekolah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN