KUALA LUMPUR: Kenderaan roda tiga diubah suai yang gagal memperoleh Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) tidak dibenarkan untuk digunakan di jalan raya di seluruh negara walaupun untuk pertanian dan pelancongan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya kenderaan roda tiga yang diubah suai tidak menepati syarat kelayakan atau tidak mendapat kelulusan, penggunaan kenderaan tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang serta tidak layak dilindungi insurans dan tidak boleh membayar cukai jalan.
Bagaimanapun beliau berkata, kenderaan tersebut penting untuk pelbagai sekotor pertanian, pelancongan dan sebagainya.
“Jika terdapat keperluan atau kepentingan untuk menggunakan kenderaan ini bagi tujuan spesifik seperti pertanian atau pelancongan, ia mestilah mendapat kelulusan terlebih dahulu.
“Jadi saya berharap pihak tersebut boleh menghubungi MOT khususnya JPJ untuk membincang bagaimana ia boleh diguna serta mendapat kelulusan penggunaannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kesediaan MoT menyelaras penggunaan kenderaan roda tiga dengan kementerian lain.
Siew Fook berkata, bagi medapatkan kelulusan VTA adalah tanggungjawab pembekal.
“Ini adalah tugas dan menjadi tanggungjawab pembekal atau pengeluar yang mengeluarkan dan membuat ubah suai kenderaan roda tiga untuk mendapatkan kelulusan daripada JPJ.
“Kita sedia beri nasihat teknikal untuk memperolehi kelulusan sebelum kenderaan diubah suai,” katanya.
Menjawab soalan asal, beliau berkata, motosikal roda tiga Kategori L4 adalah antara contoh motosikal tiga roda barangan didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di negara ini.
Katanya, motosikal jenis itu dibenar digunakan di jalan raya dan hanya boleh didaftarkan sebagai kenderaan barangan, selain tertakluk kepada pemeriksaan berkala setiap enam bulan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan dan kelayakan teknikal kenderaan.
“Peraturan semasa menetapkan kenderaan roda tiga perlu didaftarkan, dilesenkan dan dipastikan selamat digunakan di jalan raya, jika digunakan untuk membawa barangan,” katanya. – UTUSAN










