KUALA LUMPUR: Langkah kawalan yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi memastikan media sosial tidak disalah guna hingga menjejaskan kelancaran siasatan dan proses kehakiman negara.
Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi melampau bukan sahaja mengelirukan orang ramai malah boleh mencabar kewibawaan institusi keadilan
“Maklumat-maklumat yang betul, yang salah, yang mengelirukan mengganggu siasatan, mengganggu kehakiman. Luas bebas sangat, dia perlu satu langkah diambil,” katanya ketika mencelah dalam sesi perbahasan Khas Isu Keselamatan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Celahan itu dibuat ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sedang membahaskan isu berhubung pematuhan prosedur undang-undang oleh pihak berkuasa dalam kes siasatan jenayah.
Takiyuddin dalam perbahasannya menekankan bahawa setiap pegawai penyiasat wajib mematuhi peruntukan Kanun Tatacara Jenayah khususnya berkaitan keperluan menjalankan bedah siasat dalam kes kematian yang meragukan.
Beliau memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar pada 13 Ogos lalu yang menyebut terdapat ketidakpatuhan apabila pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat.
“Terdapat ketidakpatuhan siasatan di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat. Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan ketua bahagiannya. Ini adalah kenyataan Pengarah CID Bukit Aman sendiri,” kata Takiyuddin.
Menurutnya, peruntukan seksyen 329 dan 330 Kanun Tatacara Jenayah jelas menyatakan kewajipan pegawai penyiasat untuk memastikan pemeriksaan bedah siasat dijalankan sekiranya kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan atau luar biasa.
“Apabila sesuatu kematian ini didapati berlaku disebabkan oleh sebab yang tidak boleh ditentukan, bukan kemalangan, maka post-mortem adalah wajib diadakan.
“Tetapi kenapa pegawai penyiasat yang telah menyiasat kes ini membenarkan pengebumian tanpa post-mortem?” soal beliau.
Takiyuddin turut mempersoalkan sama ada keluarga benar-benar diberikan penjelasan tentang kesan dan akibat sekiranya ‘post-mortem’ tidak dijalankan.
“Adakah ibu Zara telah diberikan penjelasan oleh pegawai penyiasat bahawa kalau tidak buat post-mortem apa akibatnya?
“Dan adakah pegawai penyiasat berpuas hati bahawa kematian Zara ini disebabkan oleh kemalangan sehingga membenarkan ianya dikebumikan segera?” katanya.
Beliau menegaskan, isu ini perlu dijelaskan secara telus oleh pihak kerajaan khususnya pihak polis, tanpa menafikan profesionalisme pasukan keselamatan – UTUSAN










