PARLIMEN: Kadar perkongsian cukai dengan negeri diteruskan

PARLIMEN: Kadar perkongsian cukai dengan negeri diteruskan

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan bagi merombak kadar perkongsian hasil cukai antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan berpandangan sistem federalisme yang diamalkan di negara ini seperti mana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan akan diteruskan.

Kata beliau, ia termasuk yang berkaitan pengurusan hal ehwal kewangan termasuk perkara mengenai percukaian yang sewajarnya diteruskan buat masa ini.

“Pembahagian kuasa percukaian termaktub dalam Perlembagaan adalah ciri fundamental dalam struktur federalisme, bertujuan mewujudkan negara kukuh daripada segi ekonomi dan memastikan pembangunan seimbang antara wilayah serta negeri di Malaysia.

“Kerajaan komited memastikan hasil cukai dikutip Persekutuan diagihkan semula kepada semua negeri, termasuk negeri yang mempunyai sumber ekonomi terhad melalui pemberian tahunan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

“Ini juga melalui pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di negeri, dibiayai melalui anggaran perbelanjaan pembangunan (DE) yang disediakan setiap tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai kesediaan kerajaan meminda Perlembagaan yang bertujuan berkongsi hasil antara 20 hingga 30 peratus tambahan daripada jumlah diberikan ketika ini.

Tambah Hui Ying,  Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan serta program-program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan di negeri-negeri. 

“Pendekatan yang diambil sebagai pulangan kembali kepada hasil kutipan yang dikutip negeri adalah melalui mekanisme Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dan peruntukan tahunan berdasarkan belanjawan yang diluluskan.

“Hasil yang diterima oleh Kerajaan persekutuan disalurkan kembali kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya. 

“Sebagai contoh, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Projek Membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, Central Spine Road di Pahang dan Kelantan dan projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN