PARLIMEN: Dua produk oleokimia dimohon pengecualian SST

PARLIMEN: Dua produk oleokimia dimohon pengecualian SST

CHAN FOONG HIN - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memohon pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas dua produk oleokimia utama bagi mengurangkan beban kos industri sawit.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, dua produk tersebut ialah minyak isirung sawit mentah di bawah kod HS 1513.21.1000 dan minyak isirung olein dengan kod HS 1513.29.1300 yang masing-masing dikenakan SST pada kadar lima peratus.

Katanya, pihak kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri untuk mendapatkan pandangan berhubung impak pelaksanaan SST berkenaan.

“Maklum balas yang diterima daripada pihak industri sawit telah diteliti dan kementerian sedang mengemukakan permohonan pengecualian cukai kepada Kementerian Kewangan ke atas kedua-dua bahan mentah berkenaan.

“Pengecualian ini wajar memandangkan ia merupakan bahan mentah dalam pengeluaran produk oleokimia dan bukan produk akhir yang tertakluk kepada cukai oleh kerajaan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai kesan pengembangan SST terhadap industri sawit khususnya sektor hiliran oleokimia serta usaha kementerian mengekalkan daya saing industri itu di pasaran antarabangsa.

Foong Hin berkata, cadangan berkaitan pengecualian atau pelepasan SST bagi perkhidmatan tertentu yang bersifat kritikal kepada operasi industri turut diambil kira bagi mengurangkan tekanan kos.

Mengulas usaha mengekalkan daya saing industri sawit di peringkat global, beliau berkata, kementerian memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pembangunan sistem kebolehjejakan di sepanjang rantaian bekalan produk sawit.

“Piawaian MSPO juga merangkumi amalan bertanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pemain industri sawit meliputi hak dan kebajikan pekerja, piawaian keselamatan serta pematuhan perundangan,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian juga menekankan penggunaan teknologi moden seperti dron, kecerdasan buatan (AI), pengimejan satelit dan sensor bagi memantau serta mengurus ladang sawit dengan lebih berkesan.

“Penggunaan teknologi ini dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara, mengoptimumkan penggunaan baja dan racun serta mengurangkan kos selain mengatasi cabaran alam sekitar, cuaca dan keterbatasan keupayaan manusia,” katanya.

Menurut Foong Hin, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menghasilkan varieti baharu bahan tanaman sawit yang dinamakan Palm Series (PS) melalui kaedah bioteknologi, pembiakan dan pengklonan.

Katanya, varieti baharu itu mempunyai ciri peningkatan hasil, kualiti dan ketahanan yang lebih baik terhadap perubahan iklim sekali gus memenuhi permintaan minyak sawit mampan Malaysia yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“MPOB juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengembangkan produk sawit bernilai tambah tinggi seperti oleokimia, biofuel dan produk kesihatan berasaskan minyak sawit termasuk tokotrienol.

“Kerajaan terus memperkukuh akses pasaran melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara rakan dagang bagi memastikan eksport sawit Malaysia kekal stabil dan berterusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN