PARLIMEN: Ambil langkah serius tangani buli

PARLIMEN: Ambil langkah serius tangani buli

doktor
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah lebih serius dalam menangani isu buli yang semakin membimbangkan termasuk persepsi rakyat kerana ia melibatkan keselamatan pelajar di sekolah.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kelewatan penjelasan menyebabkan rakyat menyebarkan pelbagai versi di media sosial sehingga mewujudkan perasaan tidak selamat.

“Apabila benda ini semakin meruncing, saya cadangkan supaya kerajaan lebih serius menguruskan persepsi rakyat. Dalam hal ini, di sebalik fakta yang disebut oleh menteri, di sebalik proses undang-undang, rakyat tidak tengok teknikal atau istilah undang-undang.

“Masalahnya sudah hampir satu bulan tiga minggu berlangsung, tidak ada fakta, tidak ada penjelasan kecuali setelah menteri memberi penjelasan yang terperinci barulah rakyat tahu kedudukan isunya.

“Perkara ini perlu direspon dengan pantas kerana bila respon lambat, ia membuka ruang spekulasi dan akhirnya memudaratkan lagi situasi,” katanya ketika membahaskan isu berkaitan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Afnan Hamimi kemudian mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan pengurusan krisis terutama berkaitan komunikasi dengan lima cadangan utama.

“Pertama, pastikan ada jurucakap tunggal. Kedua, maklumat perlu diberikan secara berkala harian atau mingguan. Ketiga, gunakan kepelbagaian medium komunikasi.

“Keempat, sepanjang krisis berlangsung, terutama isu adik Zara Qairina Mahathir ini, keluarga mangsa perlu dihormati dan jangan sewenang-wenangnya dibuat kandungan untuk ambil kesempatan naikkan ‘rating view’ dia.

“Yang kelima saya cadang kerajaan umum langkah-langkah yang serius dan meyakinkan supaya rakyat lihat kerajaan serius.

“Contoh langkah serius, pasang CCTV RM3 juta tu serius tapi harganya RM3 juta. Pin Jalur Gemilang itu RM8 juta, apa CCTV lebih mahal daripada pin Jalur Gemilang?

“Patut kerajaan umum mewujudkan jawatan warden asrama secara tetap ni langkah-langkah serius dan sekurang-kurangnya sebut kita akan gubal rang undang-undang anti buli itu akan lebih meyakinkan rakyat,” cadangnya.

Beliau berkata, slogan seperti laungan Kami Antibuli tidak memadai tanpa projek kefahaman dan pendidikan jangka panjang bagi membaiki manusia di sekolah.

“Apa yang kita mahu sebenarnya tiga perkara kita nak kembalikan semula keyakinan rakyat kepada sistem yang ada. Kedua kita nak supaya rasa selamat ahli keluarga masyarakat guru semua rasa selamat kepada sekolah institusi pendidikan yang kita ada.

“Yang ketiga kita nak keluarga mangsa dihormati rasa terbela tak dipinggirkan dan tidak tertindas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN