KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat seorang bapa yang mendakwa anak perempuannya dibuli sehingga menyebabkan dia terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Setapak di sini hari ini.
Lelaki dikenali sebagai Jeff Ho, 50-an berkata, mendiang anak perempuannya berusia 22 tahun merupakan penuntut di universiti swasta di Kuala Lumpur dan ditemukan maut pagi tadi selepas terjatuh dari rumah sewanya.
Katanya, perkara itu dimaklumkan, pihak kondominium kira-kira pukul 8.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Rakan mendiang ada maklum bahawa anak saya sering dibuli mental oleh rakan-rakannya yang lain kerana ada perselisihan faham.
“Ada tekanan dari rakan-rakanya sehingga dia bertindak begini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju di sini hari ini.
Kata ahli perniagaan itu, mendiang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan pernah mengadu tentang perkara tersebut kepada kakak dan adiknya.
Tambahnya, ini bukan kali pertama anaknya bertindak demikian kerana dia juga pernah diselamatkan oleh pengawal keselamatan selepas dipercayai cuba terjun dari kediamannya pada minggu lalu.
“Anak saya telah tinggal di rumah sewa berkenaan sejak dua tahun lalu dan kali terakhir kami berhubung adalah malam tadi.
“Sepanjang tempoh panggilan itu, dia tidak tunjuk apa-apa yang pelik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jeff Ho menggesa pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kepada individu lain. – UTUSAN










