PETALING JAYA: Satu gerakan bersepadu membanteras budaya buli dan menyemarakkan kempen ‘Buli Adalah Jenayah’ di semua peringkat perlu digerakkan segera agar tragedi kematian pelajar baru-baru ini tidak berulang.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hukuman tegas tanpa kompromi mesti dikenakan terhadap pelaku buli tanpa mengira latar belakang, sebagai mesej jelas bahawa tiada lagi toleransi terhadap sebarang bentuk buli sama ada fizikal, mental, lisan mahupun siber.
“Budaya toleransi terhadap perbuatan buli yang dianggap gurauan biasa dalam kehidupan berasrama juga mesti dihentikan serta-merta,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook, hari ini.
Beliau merujuk tragedi menimpa seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama di Sabah yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, yang dikaitkan dengan insiden buli.
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustafa Limauan itu disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Asyraf Wajdi berkata, insiden itu menggambarkan betapa seriusnya isu buli dalam kalangan pelajar yang tidak boleh lagi dipandang ringan.
“Usaha pembanterasan dan pencegahan secara menyeluruh mesti digerakkan melibatkan guru, warden, pihak pentadbir, ibu bapa dan pelajar sendiri,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya penyemaian nilai-nilai rahmah (kasih sayang) dan ihsan (empati) dalam kalangan pelajar agar menjadi budaya asas pembentukan sahsiah generasi yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). – UTUSAN









