UMNO jamin Kerajaan Perpaduan kekal hingga Parlimen dibubarkan

UMNO jamin Kerajaan Perpaduan kekal hingga Parlimen dibubarkan

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal mentadbir sehingga ia dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prinsip itu terkandung dalam perjanjian di antara semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan ia akan dihormati.

Katanya, walaupun Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan namun ia tidak menggugat kerajaan di peringkat persekutuan.

“Inti pati pertama perjanjian membabitkan permuafakatan. Ini adalah demi untuk menjaga kestabilan, memastikan, kemakmuran dan keharmonian negara sepanjang sesi penggal Parlimen ini dapat kita sama-sama pertahankan demi untuk kemajuan negara.

“Selama hampir empat tahun kita bersama dalam kerajaan ini, semua memainkan peranan bersama menjaga kestabilan dan memakmurkan negara. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan sesiapa.

“Barisan Nasional (BN) tak boleh menafikan PH, PH tak boleh menafikan BN, tak boleh menafikan GRS, GPS dan sebagainya. Itu asas yang penting. Maknanya kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya hari ini.

Beliau berkata, perjanjian yang disepakati antara parti-parti membentuk Kerajaan Perpaduan itu terpakai PRU16.

“Sebab itulah BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sendiri sentiasa menyebut bahawa kita tidak akan sesekali menebuk atap kerana itu perjanjian yang kita sepakati bersama,” katanya.

Mengulas kerjasama BN dengan PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan meminta supaya konteks di negeri dan Persekutuan tidak dicampur aduk.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada pihak masih tidak berpuas hati ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membubarkan Parlimen bagi memberi mandat kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan.

“Tetapi dalam konteks Johor dan juga Negeri Sembilan itu berbeza, kerana itu sudah berlaku pilihan raya. Jangan kita campur aduk PRN dengan persefahaman dan perjanjian yang ada di peringkat Persekutuan. Dalam konteks Persekutuan ini, intipati yang saya sebutkan tadi menjurus kepada semua portfolio ini sudah pun disepakati dalam perjanjian.

“Kementerian-kementerian yang dipegang oleh menteri-menteri, timbalan menteri BN dan juga agensi-agensi termasuk Mara, termasuk Risda, termasuk Felcra. Ini semua adalah dalam perjanjian.

“Kalau mana-mana pihak nak minta supaya kita leraikan semua perkara ini maknanya kita kena semua sepakat bahawa kita kena serahkan balik mandat ini kepada rakyat. Maknanya bubarlah. Di situ baru hilanglah, terlerailah perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN