KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua agar menjauhi budaya buli.
Titah baginda, jangan sesekali menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan ejekan atau hiburan yang boleh menyakitkan hati.
Sebaliknya baginda bertitah, taburkanlah kata-kata semangat yang mampu menyuburkan keyakinan kepada diri seseorang individu itu.
“Dengan menolak budaya buli serta membudayakan sikap hormat dan empati, kita dapat mewujudkan suasana yang penuh keharmonian, selamat dan sejahtera untuk semua,” titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri majlis santapan negeri sempena kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 di Dewan 2020 di sini hari ini.
Berangkat mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Ariffin.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada 16 ketua kontinjen serta pengurniaan sijil dan cenderamata sebagai penghargaan kepada para penaja yang telah menjayakan kejohanan pada tahun ini.
Baginda turut menzahirkan harapan agar kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan tetapi wadah untuk mengeratkan silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan dan melahirkan bakat-bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri.
Kejohanan olahraga MSSM 2025 yang berlangsung dari 18 sehingga 25 Ogos di Stadium Tuanku Syed Putra di sini menghimpunkan lebih 1,440 atlet dan 320 pegawai mewakili 16 kontinjen dari seluruh negara.
Antara negeri yang mengambil bahagian ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah serta tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan tuan rumah, Perlis.
Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu bawah 12 tahun, bawah 15 dan bawah 18 dan menariknya, edisi kali ini turut memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran yang menggabungkan atlet lelaki dan perempuan dalam satu pasukan. – UTUSAN










