KUALA LUMPUR: Seramai 73.8 peratus isi rumah berpendapatan rendah (B40) di Malaysia kini memiliki kediaman sendiri manakala 22.8 peratus mendiami rumah sewa dan 3.4 peratus lagi merupakan penghuni kuarters.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan sentiasa komited menyediakan perumahan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.
Katanya, usaha ini selaras dengan matlamat tiada yang tertinggal dalam mendapatkan hak asas rakyat iaitu memiliki kediaman yang kondusif dan selamat sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan hidup secara menyeluruh.
“Komitmen kerajaan ini turut diterjemahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di bawah Strategi Reformasi Perumahan RMK-13 yang menekankan penyediaan perumahan berkualiti, berdaya huni dan terangkum.
“Buat masa ini, keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal tanpa mengira sama ada secara pemilikan atau sewaan selaras dengan Dasar Perumahan Negara (2018 – 2025),” katanya dalam menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) mengenai golongan B40 yang memiliki rumah mengikut kaum di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Kor Ming berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai program dan insentif bagi menyokong rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam memiliki kediaman termasuk pelaksanaan skim Sewa-Untuk-Beli (Rent-to-Own, RTO) di beberapa negeri.
Katanya, cadangan peluasan pelaksanaan skim RTO itu sejajar dengan agenda Reformasi Perumahan seperti yang dinyatakan di bawah RMK-13
“Bagi skim RTO ini, KPKT sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri serta sedang giat meneroka ruang kerjasama dengan institusi kewangan bagi mencari alternatif dan inisiatif pembiayaan yang bersesuaian,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama.
“Sejak pelaksanaan SJKP dari 2008 hingga 31 Mei lalu, sebanyak RM20.9 bilion jaminan pinjaman telah diluluskan untuk 88,507 permohonan. Tahun ini, jumlah dana SJKP telah ditambah sebanyak RM10 bilion menjadikan peruntukan setinggi RM30 bilion,” katanya.
Selain itu, katanya, konsep Step-Up Financing pula menyediakan alternatif pembiayaan secara berperingkat bagi golongan belia.
“Skim ini dilihat sebagai alternatif kepada mekanisme pembiayaan sedia ada dan telah dijadikan sebahagian daripada produk yang dijamin pembiayaannya di bawah SJKP melalui Belanjawan 2025, menyediakan lebih banyak peluang untuk golongan belia,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan turut menggubal Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman bagi melindungi hak penyewa dan pemilik selaras usaha menggalakkan sewaan kediaman sebagai alternatif pemilikan rumah. – UTUSAN










