SUNGAI PETANI: Orang ramai mula mengunjungi pasar raya terpilih untuk membeli pelbagai barangan sebaik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 boleh ditebus mulai hari ini.
Tinjauan di sebuah pasar raya di Taman Kelisa Ria di sini mendapati, orang ramai mula memenuhi premis berkenaan sebaik operasi dimulakan pukul 9 pagi tadi bagi membeli 14 kategori produk terpilih.
Suri rumah, Nurhayati Zainol, 55, berkata, dia mengunjungi premis itu seawal mungkin bagi mengelak kesesakan di kaunter bayaran berikutan ramai pelanggan berbelanja di situ.
“Pemberian RM100 melalui SARA ini cukup besar buat saya sebagai tambahan kepada sumbangan MyKasih yang diterima setiap bulan selama ini.
“Hanya ucapan syukur yang dapat dizahirkan kepada kerajaan kerana melaluinya saya dapat membeli pelbagai barangan keperluan untuk digunakan keluarga,” katanya ketika ditemui.
Bagi Sarvan Singh, 58, yang tinggal di Amanjaya berkata, dia mengunjungi premis di Taman Kelisa Ria kerana mendapati proses pembayaran di kaunter di situ agak cepat walaupun ramai pelanggan membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.
“Memang hari pertama ramai orang datang membeli tetapi dengan persediaan pihak premis ini membuka lebih banyak kaunter bayaran berbanding hari biasa melancarkan proses pembelian itu.
“Selain itu di premis ini banyak produk yang dikategorikan boleh dibeli di bawah SARA dan saya seperti rakyat lain bersyukur dengan pemberian RM100 yang dikreditkan terus melalui MyKad ini kerana dapat meringankan beban ketika berbelanja,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Beliau berkata, pemberian bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup rakyat dan penghargaan serta memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion. – UTUSAN










