KUANTAN: Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI), penagih dadah dan pemilik rokok seludup ditahan dalam Operasi Khas Bersepadu Pencegahan Jenayah dan PATI di Taman Golden City, Jalan Bukit Ubi, di sini, malam tadi.
Dalam operasi yang bermula pukul 7 malam itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang memeriksa 126 individu di beberapa premis termasuk pasar raya, kedai makan dan kawasan sekitar.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, seramai 10 individu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala lapan lagi kerana tinggal lebih masa mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, dua lelaki ditahan kerana memiliki syabu seberat 0.62 gram, manakala tiga lagi positif dadah hasil ujian air kencing. Seorang lelaki pula dicekup kerana memiliki rokok tidak bercukai. Kesemua mereka adalah lelaki yang berusia antara 25 hingga 50 tahun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada 126 individu diperiksa, seramai 102 orang dilepaskan selepas dokumentasi kerana memiliki dokumen sah atau tiada kesalahan dikesan.
“Semua tangkapan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










