PUTRAJAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri tumpuan puluhan ribu pengunjung apabila mendendangkan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, Malaysia Madani, Rakyat Disantuni, di Dataran Putrajaya, pagi ini.
Kemunculan penyanyi tersohor tanah air itu di pentas utama itu dengan berbaju kurung songket mengundang sorakan gemuruh dan tepukan pengunjung yang terpegun dengan lontaran vokalnya menyanyikan lagu ciptaan komposer muda, Affan Mazlan.
Suasana bertambah meriah apabila pengunjung di Dataran Putrajaya turut sama menyanyi, menyemarakkan lagi semangat patriotisme.
Nyanyian penuh penghayatan oleh Siti Nurhaliza bukan sahaja menghidupkan tema Hari Kebangsaan tahun ini, malah memberi aura istimewa pada acara yang turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini, bermula secara rasmi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta. – UTUSAN










