Nelayan maut, rakan cedera bot bertembung 

Nelayan maut, rakan cedera bot bertembung 

KEADAAN bot milik Mohd. Rasid Jusoh yang bertembung dengan bot rakannya di Sungai Paka, Dungun, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang nelayan maut manakala rakannya cedera dalam insiden dua buah bot gentian kaca bertembung berhampiran Sungai Paka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Mohd. Rasid Jusoh, 58, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya menaiki bot masing-masing dari jeti berhampiran untuk keluar menangkap ikan di laut. Kejadian itu dipercayai berlaku apabila bot yang dipandu rakannya yang dikenali sebagai Ismail berpatah balik untuk mengambil barang di jeti, menyebabkan kedua-dua bot itu bertembung berikutan keadaan laut yang gelap. 

Seorang rakannya, Rosli Md. Lazim, 54, berkata, sebelum kejadian, dia bersama Mohd. Rasid dan Ismail sempat menikmati sarapan pagi dan menunaikan solat Subuh berhampiran jeti. 

“Selepas solat, kami bertiga menaiki bot masing-masing untuk ke laut. Ismail bergerak dahulu kemudian disusuli Mohd. Rasid dan saya bergerak paling belakang. 

“Saya hanya menyedari bot Mohd.Rasid terbalik apabila ternampak objek besar yang terapung hanya kira-kira 500 meter dari jeti. Saya dekati objek itu dan suluh lampu sebelum ternampak Mohd. Rasid sedang berpaut pada bot yang terbalik, dalam keadaan sangat lemah, mungkin dia sudah tertelan banyak air,” katanya. 

Rosli berkata, dia bergegas mengangkat Mohd. Rasid dan membawanya ke daratan serta ke Klinik Kesihatan Paka dengan menaiki keretanya.

“Ketika itu saya tak fikir dia akan ‘pergi’ kerana dia pernah terjatuh dari bot sebelum ini dan dia kembali okey selepas beberapa jam. Bila tiba di klinik, doktor periksa dan dapati rakan saya telah meninggal dunia,” katanya. 

Menurut Rosli, Ismail mendakwa dia tidak menyedari terlanggar bot Mohd. Rasid, sebaliknya dia menyangka hanya terlanggar kayu ketika berpatah balik menyebabkan dia meneruskan perjalanan ke jeti.  

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN