PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, mengakui dirinya berada dalam keadaan baik walaupun berdepan dengan tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, yang tiba bagi sesi sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Putrajaya, hari ini dilihat semakin susut namun masih memberi kerjasama kepada pengamal media.
“Saya datang hari ini untuk serahkan dokumen sahaja dulu.
“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua orang yang hadir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, juara Anugerah Juara Lagu ke-34 mengakui sebagai komposer, dia sedang sibuk dalam proses menghasilkan buah tangan terbaharu.
“Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik dan sedang sibuk dengan (kerjaya) muzik saya semula dan menulis.
“Selebihnya saya memang fokus kepada diri saya sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, penyanyi Seni Berdamai Dengan Takdir itu mahu kekal aktif berkarya dan tidak membiarkan kes yang sedang berjalan menjejaskan kerjayanya sebagai pemuzik.
“Sebenarnya ada atau tidak kes ini, memang saya akan lakukan itu (buat lagu) sebab ia sudah jadi kerja saya. Saya akan buat sentiasa juga.
“Harap semua orang dapat sama-sama bersabar untuk perkembangan seterusnya. Itu sahaja daripada saya, terima kasih,” katanya ringkas.
Hari ini, Naim hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya sekitar pukul tujuh pagi sebelum ketibaan media untuk sesi sebutan semula kes yang dijadualkan pada pukul sembilan pagi.
Naim ditemani peguam, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, pihaknya selaku defendan untuk beberapa dokumen berkaitan kes tersebut kepada pihak mahkamah.
Mahkamah hari ini menetapkan 19 September sebagai tarikh pengurusan kes bagi tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Sebelum ini, pada 17 Jun 2025, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 17 tahun di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu pada jam kira-kira 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan potensi hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. -UTUSAN