PETALING JAYA: Kadar elaun sebanyak RM1,500 bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman perlu disemak semula dan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, jumlah itu lebih munasabah mengambil kira kos sebenar yang perlu ditanggung oleh guru-guru di kawasan tersebut.
Katanya, ia termasuk keperluan dua tempat tinggal dan perbelanjaan harian yang jauh lebih tinggi berbanding kawasan bandar kerana kos tambahan yang lain.
“Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang bertugas di pedalaman, kami berpandangan kadar yang lebih wajar khususnya bagi kategori Pedalaman Tiga adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
“Kos hidup di pedalaman sering disalahfahamkan sebagai rendah. Hakikatnya, harga barang keperluan asas boleh menjadi dua kali ganda berbanding di bandar disebabkan kos pengangkutan yang tinggi dan bekalan yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Juhari turut mencadangkan kerajaan supaya menyediakan insentif tambahan seperti pengangkutan selamat, kemudahan kesihatan dan latihan profesional setara kepada guru pedalaman.
Katanya, ada antara warga pendidik terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi penyediaan bahan kerana kemudahan yang terhad di pendalaman dan berdepan pelbagai risiko termasuk laluan berbahaya dan ancaman lain ketika ke sekolah.
“Perjalanan mereka untuk sampai ke sekolah bukan sekadar soal jarak tetapi melibatkan laluan yang sukar, risiko keselamatan yang tinggi dan kemudahan asas yang sangat terhad,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memandang serius perkara itu kerana mampu memberi kesan langsung kepada profesion keguruan di kawasan luar bandar.
“Oleh itu, sekiranya kita benar-benar serius mahu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, langkah pertama ialah dengan menjaga kebajikan guru di pedalaman,” katanya.-UTUSAN










