PETALING JAYA: Motosikal yang ditunggang dua individu dipercayai melakukan serangan terhadap anak lelaki bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, petang semalam dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya setakat ini mengesan dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati dua individu terbabit dikesan menaiki motosikal.
“Kami telah mengenal pasti motosikal terbabit namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.
“Penyerang setakat ini (dikesan) adalah dua individu namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih belum mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan dalam jarum suntikan dalam kejadian terbabit.
“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” katanya.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan kejadian serangan terhadap anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 2 petang semalam.
Bagaimanapun, anaknya yang berusia 12 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Shazeli dilaporkan berkata, serangan yang dilakukan dua individu itu dilaporkan berlaku di tempat menurun dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.
“Saya sahkan mengenai kejadian ini dan pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terbabit.
“Kami juga sedang mendapatkan keterangan saksi dan petunjuk yang ada di kawasan kejadian,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan semalam memaklumkan kejadian berlaku ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.
“Hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka, dan dipercayai telah menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai,” katanya.- UTUSAN










