KUALA LUMPUR: Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengarahkan pihak pemohon dan responden memulakan rundingan segera dengan niat baik bagi menyelesaikan segera isu-isu berkaitan pampasan penuh terhadap kecederaan, termasuk bentuk pampasan akibat tragedi MH17.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, rundingan itu termasuk perbincangan akibat undang-undang lain yang timbul selepas keputusan Majlis ICAO pada 12 Mei lalu, bersetuju Russia melanggar obligasinya di bawah Artikel 3 Konvensyen Chicago.
“Kemajuan rundingan tersebut perlu dilaporkan kepada Majlis ICAO. Kerajaan selaku Ahli Majlis ICAO akan terus terlibat dalam perbincangan mengenai prosiding tragedi MH17,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai perkembangan terkini berkaitan siasatan dan prosiding keadilan ke atas insiden pesawat MH17 termasuk tindakan kerajaan di peringkat antarabangsa.
Anthony Loke berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan berdasarkan bukti atau evidence-based approach yang mengambil kira keahlian Malaysia dalam ICAO dan pada masa sama sebagai pemegang status pendaftaran pesawat MH17.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap prinsip keadilan, integriti perundangan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang. Malaysia juga mengambil pendekatan tragedi MH17 perlu ditangani secara objektif menerusi saluran perundangan yang telus,” katanya. – UTUSAN










