Maqis gagalkan cubaan seludup anak pokok kulit kayu manis Taiwan

Maqis gagalkan cubaan seludup anak pokok kulit kayu manis Taiwan

SEORANG pegawai Maqis menunjukkan sebahagian daripada anak pokok kulit kayu manis dari Taiwan yang dirampas di LTAPP, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/MAQIS PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan membawa masuk 100 anak pokok kulit kayu manis tanpa permit import di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.

Ia susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap seorang penumpang mencurigakan di balai ketibaan antarabangsa di situ sebelum menjumpai dua kotak pembungkusan berisi anak pokok tumbuhan tersebut.

Sehubungan itu, jurucakap Maqis Pulau Pinang berkata, barangan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Anak pokok kulit kayu manis ini dipercayai dibawa masuk dari Taiwan tanpa sebarang dokumen atau kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Oleh itu, kes kini disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang sama dan jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan mengimport barangan pertanian tanpa kebenaran boleh mengundang risiko besar kepada keselamatan biosekuriti negara ketika ini.

“Justeru, Maqis sentiasa tegas dalam memastikan bahawa setiap pengimportan produk pertanian ke dalam negara mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya ancaman penyakit, perosak serta pencemaran genetik.

“Dalam hal ini, Maqis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melanggar syarat dan peraturan berhubung pengimportan barangan pertanian,” katanya yang memberitahu, kesemua barangan rampasan kini ditahan untuk tindakan lanjut oleh pihak Maqis di LTAPP.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN