BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan membawa masuk dua buah kontena yang mengandungi sisa pepejal perbandaran atau ‘municipal waste’ di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, 23 Ogos lalu.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, susulan penahanan kontena tersebut, dua lelaki warga tempatan berusia 40 dan 50-an yang dipercayai pemilik kontena terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati, kontena berkenaan mengandungi sisa buangan seperti plastik, getah, kayu, batu, logam dan pelbagai bahan lain yang dikategorikan sebagai barang larangan import di bawah Akta Kastam 1967 dengan berat sebanyak 40,259.5 kilogram (kg).
“Semua dagangan dalam kedua-dua kontena ini juga telah diikrarkan sebagai ‘aluminium flakes’ (kepingan logam),” katanya dalam sidang akhbar di Perai di sini, hari ini.
Rohaizad berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kontena berkenaan telah diimport oleh sebuah syarikat tempatan dan pemeriksaan turut disaksikan oleh wakil syarikat terbabit.
“Pengimport dipercayai menggunakan taktik pengisytiharan palsu dengan mengikrarkan barang sebagai ‘aluminium flakes’ sebagai modus operandi bagi mengelak keperluan untuk mendapatkan ‘Approved Permit’ (AP).
“Namun, pemeriksaan mendapati, barang sebenar adalah ‘municipal waste’ yang tertakluk kepada kawalan khas serta memerlukan kelulusan teknikal daripada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya yang memberitahu, sisa pepejal terbabit telah diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tertakluk di Bawah Item 36, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Sehubungan itu, Rohaizad berkata, kes tersebut kini disiasat di Bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Dalam hal ini, orang ramai digesa untuk membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihat untuk tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya yang menjelaskan, aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol kastam iaitu 1-800-88-8855 atau pejabat kastam negeri yang terdekat.-UTUSAN










