Dua sindiket sewa gudang industri seludup rokok, arak tumpas

Dua sindiket sewa gudang industri seludup rokok, arak tumpas

Rokok arak seludup
M. Kumar menunjukkan rokok dan arak yang dirampas dalam serbuan enam gudang di Selangor dan Negeri Sembilan, pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik dua sindiket menyewa gudang di kawasan perindustrian bagi menyimpan rokok dan arak seludup sejak tiga bulan lalu tumpas selepas digempur polis di negeri ini dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sindiket itu dipercayai memperoleh barangan kontraband tanpa cukai berkenaan dari negara jiran menerusi ‘jalan tikus’ sebelum diedarkan di pasaran sekitar Lembah Klang.

Kegiatan haram itu bagaimanapun dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Selangor dan Negeri Sembilan yang menyerbu enam gudang berasingan antara 18 September hingga kelmarin.

Ops Kontraban dekat lima gudang di Selangor dan satu di Negeri Sembilan itu membawa kepada penahanan sembilan individu iaitu lapan lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 58 tahun dengan rampasan bernilai lebih RM2 juta.

Pengarah JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M. Kumar berkata, operasi khas melibatkan enam serbuan di dua negeri itu dilakukan hasil risikan berkaitan dua sindiket yang aktif dalam pengedaran dan penyeludupan barang kontraban.

Kesemua suspek termasuk tiga warga Myanmar itu bertindak sebagai penjaga premis, pekerja am dan individu yang mengendalikan lori serta kenderaan yang digunakan sindiket.

“Dua sindiket berbeza itu menggunakan laluan tidak diwartakan sama ada laut atau darat bagi membawa masuk barangan seludup tersebut.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket menyewa gudang yang beroperasi secara tertutup sebelum mengedarkan barangan ke pasaran tempatan termasuk kedai runcit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Kumar berkata, polis berjaya merampas 4,720 karton rokok, 412 karton pelbagai jenis bir dan 124 karton arak termasuk liquor.

“Selain itu, lima kenderaan disita jenis Toyota Camry, Toyota Harrier, Toyota Innova, Perodua Alza dan sebuah lori. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan milik sindiket itu dianggarkan RM2.41 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, semua suspek termasuk dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman antara empat hingga 14 hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 selain Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Ini antara rampasan terbesar yang berjaya disekat sebelum sempat diedarkan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti pemilik gudang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN