PUTRAJAYA: Malaysia secara dasarnya tidak akan berunding atau berkompromi dengan mana-mana pihak selagi Israel masih melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia hanya akan bercakap mengenai pendamaian selepas penindasan terhadap Gaza dan Palestin dihentikan sepenuhnya.
“Hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan. Tiada rundingan sebelum itu.
“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari. Dia datang rumah saya, bunuh anak isteri saya dan kemudian kata boleh tak kita runding nak ikhtiar? Tidak mungkin itu berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Percetakan Al-Quran dan Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Rusia dan Pelancaran Mushaf Al-Ummah Al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.
Katanya, Malaysia menetang sebarang usaha kolonisasi, penindasan, kekejaman dan jenayah genosid oleh mana-mana pihak ke atas mana-mana negara.
Anwar berkata, beliau melihat keadaan di Palestin hari ini jauh lebih buruk di mana Zionis terus melakukan kekejaman tanpa belas kasihan.
“Sudah tentu ini amat dikesali. Saya menganggapnya sebagai satu kegagalan besar. Malaysia konsisten menegakkan prinsip kemanusiaan dan keadilan.
“Kami menentang sebarang pencabulan terhadap keamanan sejati yang sepatutnya menyelamatkan nyawa manusia. Kita telah kehilangan rasa kemanusiaan itu.
“Malaysia juga konsisten dalam mengambil tindakan tegas di peringkat antarabangsa. Kami juga telah menyatakan pendirian kepada semua Presiden dan Perdana Menteri, termasuk Presiden Amerik Syarikat, Donald J. Trump, agar menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan pembunuhan,” katanya.
Pada 30 Julai lalu, Perancis dan Arab Saudi sekali lagi membawa ‘Deklarasi New York’ ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengetengahkan cadangan pelaksanaan penyelesaian dua negara (2SS) sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Deklarasi itu turut memasukkan syarat utama yang menetapkan supaya Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin. – UTUSAN