Malaysia setuju mesyuarat GBC pusingan kedua

Malaysia setuju mesyuarat GBC pusingan kedua

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara pemimpin Kemboja dan Thailand di Wisma Perwira di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi pusingan seterusnya dilaksanakan dalam memantau perkembangan perjanjian antara Thailand dan Kemboja membabitkan gencatan senjata.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia berpandangan mekanisme dua hala yang dilaksanakan bagi menyelesaikan konflik antara dua negara itu adalah memadai.

Katanya, komitmen Kemboja dan Thailand terhadap pelaksanaan gencatan senjata disifatkan sebagai langkah penting yang mencerminkan semangat ASEAN dalam menyelesaikan konflik melalui rundingan dan persefahaman bersama.

“Pendekatan itu adalah selari dengan prinsip kepercayaan dan saling menghormati yang sekian lama menjadi asas dalam kerjasama serantau.

“Paling penting, gencatan senjata bukan sekadar menghentikan tembakan, tetapi satu janji untuk melindungi nyawa, menjunjung maruah dan mencegah penderitaan berpanjangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara pemimpin Kemboja dan Thailand di Wisma Perwira di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Malaysia bangga atas peranan sebagai pemudah cara dalam usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand, sejajar dengan prinsip rundingan serta konsensus yang menjadi pegangan ASEAN.

“Melalui GBC seperti yang kita sedia maklum, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengetengahkan kenyataan bersama yang mengandungi pelbagai perkara. Ini termasuk komitmen, tekad dan kesungguhan untuk bersama menyumbang ke arah kedamaian.

“Pendekatan mekanisme dua hala adalah yang dipersetujui dan diterima pakai buat masa ini, walaupun Perdana Menteri sempat menghubungi kesemua pemimpin ASEAN yang menyatakan sokongan terhadap peranan Malaysia serta persetujuan bahawa mekanisme sedia ada adalah memadai,” katanya.

Saifuddin menambah, perbincangan yang berlangsung mencerminkan persefahaman bersama bahawa gencatan senjata yang dicapai bukan sekadar satu keputusan taktikal, tetapi satu komitmen politik yang memerlukan kesungguhan serta keikhlasan kedua-dua pihak.

“Kita percaya pada penyelesaian melalui konsensus, bukan konfrontasi. Kepercayaan dan rasa hormat menjadi asas kepada perpaduan serantau yang kita pertahankan,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menjadi tuan rumah mesyuarat penting di Kuala Lumpur yang menemukan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.

Susulan mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, sebagai langkah awal membina semula kepercayaan dan kerjasama.

Konflik yang tercetus pada 28 Mei lalu di kawasan sempadan Preah Vihear telah mengorbankan nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, sekali gus membangkitkan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN