AI bakal jadi teknologi penting, Malaysia perlu kuasai ekosistem sendiri - Utusan Malaysia

AI bakal jadi teknologi penting, Malaysia perlu kuasai ekosistem sendiri

Ryt Bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membangunkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh bagi memastikan negara tidak terus bergantung kepada teknologi asing.

Pengarah Eksekutif YTL Power International Berhad, Yeoh Keong Hann berkata, AI bakal menjadi antara teknologi paling penting sebagaimana elektrik dan internet pada era terdahulu, justeru Malaysia perlu memiliki keupayaan membangunkan, mengendalikan dan mengawal teknologi itu mengikut acuan sendiri.

Katanya lagi, pembinaan AI bukan sekadar menghasilkan satu aplikasi, sebaliknya melibatkan pembangunan keseluruhan rantaian teknologi merangkumi tenaga, pusat data, pengkomputeran awan (cloud), model asas (foundation model) dan aplikasi.

“Membina AI bukan mengenai satu model atau satu aplikasi. Ia adalah usaha membangunkan keseluruhan ekosistem keupayaan, daripada infrastruktur digital dan pengkomputeran awan kepada model asas serta aplikasi dunia sebenar yang membolehkan Malaysia terus berinovasi, bersaing dan menentukan masa depan AI mengikut acuannya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kepentingan memiliki ekosistem AI sendiri semakin jelas selepas Amerika Syarikat (AS) menggantung akses global kepada model AI Claude Fable 5 keluaran Anthropic untuk semua warga asing hanya beberapa hari selepas pelancarannya pada pertengahan Jun lalu sebelum akses dipulihkan beberapa minggu kemudian.

Insiden itu katanya lagi, ia membuktikan akses kepada teknologi AI boleh berubah mengikut dasar syarikat atau negara luar, sekali gus menimbulkan keperluan mendesak untuk Malaysia membina keupayaan AI sendiri.

Mengikut rangka kerja industri NVIDIA, ekosistem AI terdiri daripada lima lapisan utama iaitu tenaga, pusat data, pengkomputeran awan, model asas dan aplikasi.

Dalam konteks Malaysia, YTL merupakan antara syarikat tempatan yang telah membangunkan keupayaan merentasi kelima-lima lapisan tersebut.

Dalam aspek tenaga, YTL Power yang telah lebih tiga dekad beroperasi sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) menyediakan bekalan elektrik bagi menyokong operasi AI yang memerlukan penggunaan tenaga berskala besar dan berterusan.

Syarikat itu turut membangunkan kampus pusat data seluas kira-kira 1,600 ekar di Johor berhampiran Singapura dengan kapasiti yang sedang ditingkatkan kepada 1,200 megawatt (MW), sekali gus membolehkan model AI berskala besar dilatih dan dikendalikan di dalam negara.

Pada masa sama, YTL AI Cloud muncul antara penyedia awan pertama di Asia yang memperoleh status NVIDIA Exemplar Cloud, menjadikannya antara hanya 14 penyedia awan di dunia yang memenuhi piawaian teknikal tertinggi NVIDIA bagi menyokong beban kerja AI.

YTL AI Labs pula membangunkan model bahasa besar (LLM) tempatan, ILMU, yang direka khusus untuk memahami bahasa, budaya dan konteks masyarakat Malaysia.

Model itu turut menduduki tempat pertama dunia dalam penanda aras MalayMMLU, mengatasi beberapa model AI antarabangsa dalam penilaian pengetahuan akademik dan umum dalam Bahasa Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, ILMU dibangunkan berasaskan kepercayaan bahawa AI hanya mampu memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Malaysia sekiranya teknologi itu benar-benar memahami bahasa, keutamaan dan cara hidup masyarakat tempatan.

Selain model AI, YTL AI Labs turut membangunkan ILMU Claw bagi membolehkan pembangun menghasilkan ejen AI autonomi menggunakan infrastruktur Malaysia, manakala Ryt Bank menjadi bank digital pertama negara yang dikuasakan AI melalui sistem Ryt AI.

Syarikat telekomunikasi Yes pula kini menawarkan akses percuma kepada ILMUchat Pro kepada semua pelanggannya serta mengintegrasikan pembantu AI Sofea ke dalam aplikasi MyYes.

Perkembangan itu meletakkan Malaysia dalam kelompok kecil negara yang memiliki keupayaan lengkap merentasi keseluruhan rantaian pembangunan AI, sekali gus membuka peluang untuk muncul sebagai peneraju AI di Asean.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN