PETALING JAYA: Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Senegal akan terus diperkukuh terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, haji, wakaf dan industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua bidang tersebut mempunyai potensi besar untuk dimajukan bersama.
Katanya, perkara berkenaan menjadi antara tumpuan perbincangan ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall, hari ini.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk perkembangan di Asia Barat dan benua Afrika,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fall berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari bermula hari ini, sebagai timbal balas kepada lawatan rasmi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada Mei 2024. – UTUSAN