PETALING JAYA: Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertahankan kuota 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82 yang dipengerusikannya hari ini.
Katanya, MTN merupakan satu platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara agar dimanfaatkan.
“Manfaat itu haruslah optimum dan seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial serta kelestarian alam sekitar.
“Mesyuarat hari ini memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, serta responsif terhadap keperluan dan realiti semasa,” katanya menerusi Channel Anwar Ibrahim di WhatsApp hari ini.
Perdana Menteri berkata, bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan segera demi kebajikan rakyat, beliau menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuhkan kerjasama.
“Ia khususnya dalam mempercepatkan proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan Madani akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai salah satu teras utama konsep Madani,” katanya. – UTUSAN










