KOTA KINABALU: Sebarang tindakan terhadap mana-mana individu tidak berdasarkan persepsi atau dakwaan politik, sebaliknya setiap keputusan mesti berpaksikan bukti kukuh dan dokumen sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tahu pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap pemimpin, namun tegasnya, tindakan tersebut memerlukan bukti jelas yang menunjukkan kesalahan tersebut.
“Saya bekerja dengan pelbagai pihak, termasuk yang pernah dikaitkan dengan rasuah. Tetapi itu soal persepsi.
“Jika ada bukti dan pengisian yang disahkan, itu garis merah saya. Kalau hanya kerana video atau dakwaan kosong, saya tidak boleh buat keputusan,” katanya pada Majlis Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau sendiri pernah melihat beberapa video tular termasuk yang dikaitkan dengan pemimpin, namun rakaman tanpa bukti transaksi tidak boleh dijadikan asas tindakan.
“Saya pernah lihat video itu. Ada orang kata, ‘awak dapat RM1 juta, saya dapat RM5 juta’. Itu bukan kes selagi tidak ada bukti wang bertukar tangan. SPRM akan tentukan berdasarkan fakta, bukan persepsi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoal pihak yang menuduh kerajaan bersikap selektif dan berdiam diri apabila kes besar melibatkan tokoh berpengaruh dibangkitkan.
“Kenapa mereka diam bila kes jutaan ringgit dibangkitkan? Adakah mereka dilindungi? Atau hanya main politik? Bila orang kecil kena siasat, mereka bising. Bila pemimpin besar terlibat, mereka senyap,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui rasuah di Malaysia bersifat sistemik dan memerlukan ketegasan serta masa untuk dibanteras.
Beliau pernah menasihati pegawai penguat kuasa supaya menghentikan amalan salah laku sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Ini realiti rasuah sudah menjadi budaya. Sebab itu kerajaan kena sistemkan pembaikan secara menyeluruh,” jelasnya.
Anwar berkata, beliau tetap konsisten bahawa tindakan hanya boleh diambil jika bukti tidak dapat disangkal.
“Kalau kita bertindak ikut sentimen dan persepsi, negara akan hancur. Prinsip keadilan mesti dijaga,” tegasnya.
Anwar turut memberi contoh tindakan kerajaan yang telah membongkar penyeludupan kontena melibatkan barangan haram, dadah dan e-waste yang berlaku bertahun-tahun.
“Saya diberitahu ada kartel besar di pelabuhan. Ratusan kontena masuk. Kita tak boleh biarkan ini lagi. Dibuat tangkapan, rampasan dan pertuduhan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN











