KUALA NERUS: Malaysia meletakkan sasaran tinggi untuk merangkul gelaran juara apabila menjadi tuan rumah edisi sulung Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 8 November ini di Arena Lawn Bowls, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, kejohanan berprestij yang diadakan setiap empat tahun sekali itu bakal menyaksikan penyertaan 12 negara terbaik dunia, melibatkan seramai 200 atlet dan pegawai.
“Ini adalah kali pertama kejohanan ini dianjurkan di Malaysia dan Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) diberi amanah sepenuhnya untuk menjadi penganjur.
“Sasaran utama kita adalah muncul juara keseluruhan, memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri serta semangat juang atlet negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Lawn Bowls Kebangsaan di Arena Lawn Bowls Kompleks Sukan Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Hadir sama Presiden Persatuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) , Datuk Awalan Abdul Aziz.
Pada kejohanan lima hari itu nanti, sebanyak tujuh acara dipertanding termasuk kategori Para dan dijangka menjadi medan terbaik untuk menguji keupayaan atlet negara sebelum ke pentas Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.
Adam Adli berkata, antara pencabar utama Malaysia dalam kejohanan berkenaan adalah kuasa besar sukan boling padang dunia seperti Australia, England, Scotland dan Kanada.
Katanya, sebagai tuan rumah kejohanan antarabangsa itu, segala persiapan venue kini berada dalam keadaan terbaik.
Sementara itu, Awalan berkata, kejohanan boling padang peringkat kebangsaan yang menampilkan 200 peserta itu menyaksikan empat acara dipertandingkan dalam edisi 2025 untuk kategori lelaki dan wanita dengan menjadikan keseluruhan lapan pingat ditawarkan.
“Pencapaian atlet dalam kejohanan ini akan menyumbang kepada mata di dalam Sistem Ranking Kebangsaan yang diperkenal tiga tahun lalu.
“Kedudukan atlet dalam sistem ranking ini akan dijadikan sebagai indikator utama dalam proses pemilihan atlet kebangsaan untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










