Malaysia salur dana RM100 juta untuk Palestin

Malaysia salur dana RM100 juta untuk Palestin

ANWAR Ibrahim hadir ke Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka.-UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan dana sebanyak RM100 juta bagi membantu usaha membangunkan semula Gaza.

Anwar berkata, dana tambahan itu bakal disalurkan ke tabung kemanusiaan dan perubatan Palestin dalam masa terdekat.

“Malam ini saya umumkan, bagi pihak kerajaan Malaysia, RM100 juta tambahan kepada Gaza sebagai permulaan.

“Saya juga menyeru rakyat, syarikat yang dikurniakan rezeki melimpah ruah untuk turut sama membantu,” katanya pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

ORANG hadir ke Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka.-UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL IQBAL

Dalam pada itu, Anwar menolak sekeras-kerasnya kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin di bumi Gaza.

“Perkara Ini berlaku kerana kezaliman Zionis selama berpuluh tahun, tanah mereka rampas, sekolah mereka robohkan, masjid dan gereja juga mereka robohkan, ini bukan manusia ini adalah haiwan!,”katanya.

Anwar berkata, Malaysia terus memainkan peranan aktif termasuk meneruskan kerjasama dengan Jepun, China, India dan negara-negara Islam lain dalam usaha membangunkan semula Gaza.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak pernah meninggalkan isu Gaza dan Palestin. Saya merayu dan mendesak kerana ini ujian besar kepada umat Islam dan juga kepada manusia sejagat yang cintakan keadilan.

‘Memang melelahkan, kadang-kadang mengecewakan, kadang-kadang terasa tiada harapan.

“Tetapi kita percaya dengan pertolongan Allah. Saya percaya, janji Allah pasti tiba, asalkan kita terus berjuang,” katanya.

Anwar menyelar hipokrasi kuasa besar dunia yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan demokrasi namun menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Mana mungkin negara-negara merdeka berbicara soal hak asasi dan keadilan tetapi pada masa sama membiarkan penjajahan dan pembunuhan terhadap wanita serta kanak-kanak tidak berdosa.

“Tanah mereka dirampas, rumah dimusnahkan, sekolah dirobohkan, masjid diledakkan, bahkan gereja turut dihancurkan. Ini bukan perbuatan manusia.

“Isu Gaza bukan perkara baharu, sebaliknya penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin telah berlarutan sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Beliau menyeru rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini agar tampil menghulurkan sumbangan.

“Saya akan minta rakan-rakan, syarikat-syarikat di negara kita untuk turut mengambil perhatian terhadap isu ini memandangkan ada sesetengah daripada mereka sebelum ini telah memberikan sumbangan.

“Sumud ini adalah sumud rakyat malaysia dan sumud untuk rakyat yanng cintakan keamanan dan mahukan kebebasan buat rakyat gaza,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN